Oleh Aede Hatib Bin Musta’amal
Tajuk : Cabaran Dan Strategi Pendidikan Teknik Dan Vokasional
Ke Arah Mencapai Wawasan 2020.
Penulis : Haji Yahya Bin Emat
Terbitan : Jurnal Pendidikan, Jilid 37 Keluaran 8 Jun
1993, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sinopsis Artikel
Artikel ini membincangkan tentang beberapa cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani oleh latihan teknik dan vokasional dalam mendokong usaha kerajaan untuk mencapai status sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020. Penulis juga mengutarakan langkah-langkah dan strategi yang diatur oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi melaksanakan suatu kurikulum latihan teknik dan vokasional yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir berdasarkan tiga faktor utama iaitu sikap, kualiti dan kuantiti.
Kritikan Artikel
Malaysia telah meletakkan matlamat
untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 di mana usaha ini telah
dijelmakan melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) bagi
tempoh tahun 1991-2000. RRJP 2 meletakkan sasaran pertumbuhan sebanyak
7% setahun untuk ramalan pengeluaran yang akan menyumbangkan sebanyak 37%
daripada pengeluaran kasar tempatan bagi tahun 2000. Situasi ini pada pandangan
penulis secara langsung menuntut kepada penghasilan tenaga kerja yang mahir
dalam memenuhi pasaran kerja tempatan. Ini telah dinyatakan dengan jelas
di dalam Rancangan Malaysia ke Enam iaitu matlamat pembangunan sumber tenaga
manusia adalah merupakan teras utama di dalam pembangunan negara,
kerana pencapaian matlamat sosio-ekonomi bergantung kepada terdapatnya
tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan boleh dilatih (Kerajaan Malaysia,
1991). Sewajarnyalah pembangunan sumber manusia ditangani secara
bersungguh-sungguh kerana hanya dengan kebolehan, kemahiran dan daya usaha
rakyatnya sahaja sesebuah negara boleh menjadi maju. Oleh itu, apa yang
perlu ditekankan adalah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembangunan
sumber manusia terutamanya dalam bidang teknik dan vokasional. Ini selanjutnya
meletakkan sandaran yang besar terhadap latihan dan pendidikan teknik dan
vokasional dalam merealisasikan perkara tersebut. Ini amat selari dengan
pandangan penulis yang berpendapat bahawa kepincangan di dalam sistem latihan
atau pun pendidikan teknik dan vokasional akan mengakibatkan kurangnya
tenaga mahir yang seterusnya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam membincangkan aspek cabaran-cabaran yang
perlu dihadapi dan ditangani bidang pendidikan teknik dan vokasional, penulis
cuba membahagikan kepada empat aspek utama iaitu:
a) Sikap masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional.
Masyarakat dilihat oleh penulis
sebagai masih mempunyai pandangan sebegini apabila mereka menganggap pelajar-pelajar
vokasional adalah hanya mereka yang gagal dalam bidang akademik. Fenomena
ini turut mendapat perhatian Siti Maspah dan Nor Azizah (1995) yang
dalam kertas kerja mereka mengatakan bahawa:
"Satu masalah yang besar ialah untuk menarik minat pelajar
terhadap pendidikan vokasional. Ibubapa lebih memberikan perhatian kepada
pendidikan di sekolah akademik. Pendidikan di sekolah vokasional dianggap
sebagai "Second Class". Lulusan dari sekolah vokasional juga dianggap rendah
tarafnya walaupun sijil SPVM diiktiraf sama dengan SPM. Sekolah vokasional
adalah untuk pelajar yang lemah atau yang tercicir."
Tanggapan masyarakat yang sebegini
sememangnya tidak tepat kerana pendidikan teknik dan vokasional memberikan
masa depan yang cerah kepada para lulusannya samada dalam peluang pekerjaan
mahupun bidang pendidikan peringkat tinggi. Akhbar melaporkan bahawa Malaysia
hanya mampu melatih seramai 32,166 jurutera lagi dari institusi pendidikan
tinggi awam menjelang tahun 2020 (The Star, 10 Februari 1993), sedangkan
menjelang tahun 2000 sahaja sektor industri memerlukan seramai 51,000 jurutera
(Berita Harian, 31 Januari 1993).
Manakala daripada aspek peluang melanjutkan pendidikan
pula, pengiktirafan sama taraf bagi SPMV dengan SPM telah memberikan peluang
yang sama bagi lepasan SPMV untuk meneruskan pengajian di pusat-pusat pengajian
tinggi seperti Politeknik, ITM, UTM dan sebagainya (Siti Maspah & Nor
Azizah, 1995). Kerajaan yang mempelopori Program Pandang ke Timur melalui
agensi-agensinya seperti MARA telah menghantar lepasan institut kemahirannya
untuk mengikuti latihan sambil kerja di Jepun. Kesemua usaha tersebut adalah
bertujuan untuk mendorong masyarakat agar berpandangan positif terhadap
pendidikan teknik dan vokasional negara.
b) Pendidikan teknik dan vokasional untuk melahirkan sumber
tenaga manusia yang mahir.
Dalam aspek pembangunan sumber manusia
, penulis cuba mengutarakan tentang kepentingan peranan pendidikan teknik
dan vokasional dalam melahirkan tenaga mahir yang relevan dengan permintaan
pasaran. Mereka perlulah berkebolehan untuk bekerja secara profesional
di samping berupaya menerima dan menguasai pengetahuan baru yang berkaitan
dengan cepat. Menurut Isahak Haron (1992), tenaga manusia yang diperlukan
di dalam masyarakat industri tentulah tenaga manusia yang cekap dan profesional,
berfikiran terbuka untuk menerima dan mengkaji maklumat dan ilmu dan dapat
membuat penyesuaian dengan tepat. Bagi membentuk kurikulum yang bersesuaian
dengan keperluan industri semasa, maka kerjasama yang erat daripada pihak
swasta adalah diperlukan. Melalui kerjasama ini, program dan kandungan
kursus yang berkaitan dapat diawasi secara konsisten dan diubahsuai bagi
memenuhi permintaan pasaran pekerjaan yang berubah-ubah. Pandangan ini
turut dikongsi oleh Siti Maspah dan Nor Azizah (1995) yang mengatakan bahawa
pendidikan teknik dan vokasional perlu mengadakan hubungan dan kerjasama
yang rapat dengan industri bagi menjayakan program latihan dan menyusun
kurikulumya. Sokongan industri penting agar sistem sekolah dapat mengikuti
perubahan teknologi dan memenuhi keperluan permintaan serta keadaan kerja
mereka. Program-program kerjasama yang dijalankan di antara institusi pendidikan
teknik dan swasta berupaya mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan teknik
dan vokasional.
c) Mempertingkatkan kualiti dalam latihan kemahiran.
Penulis berpendapat bahawa pengalaman
dan pengetahuan tenaga pengajar di institusi latihan teknikal dan vokasional
merupakan faktor yang mempengaruhi kualiti lulusan yang dikeluarkan. Siti
Maspah dan Nor Azizah (1995) mengatakan bahawa tenaga pengajar yang berkelayakan
juga menjadi masalah utama. Mereka diambil terus dari universiti tempatan
dan Maktab Khas untuk latihan teknik atau vokasional. Kebanyakan tenaga
pengajar tiada pengalaman perindustrian dan kerja. Fenomena tersebut wajar
diambil perhatian kerana tenaga pengajar yang hanya mempunyai kelayakan
akademik tanpa memiliki pengalaman industri dan kerja akan menjadikan pelaksanaan
program latihan atau pendidikan teknik dan vokasional lebih bercorak teori
sahaja.
Ini akan melahirkan lepasan institusi
vokasional yang kurang terlatih bagi memenuhi tuntutan yang diperlukan
oleh bakal majikan mereka kelak. Ini adalah berdasarkan laporan berikut:
"…that existing training institution in this country
especially vocational schools, offer very little practical content in their
courses such that new graduate frequently lack the practical skills required
by the industry, and from findings of some tracer studies, it appears that
on average about 40% of the trainees are employed in jobs not related to
their training." (The Star, 10 Februari 1993).
Sehubungan dengan itu, saranan penulis
agar sistem pengambilan tenaga pengajar dilakukan secara lebih terbuka
di mana kelayakan akademik tidak dijadikan faktor utama tetapi mengambil
kira pengalaman industri dan kemahiran teknikal yang dimiliki adalah suatu
yang wajar. Ini adalah kerana Kerajaan melalui Kementerian pendidikan juga
telah mewujudkan kelonggaran dalam pengambilan staf dan bekerja rapat dengan
industri untuk mendapatkan tenaga pengajar sebagai kakitangan sementara
atau pinjaman (Siti Maspah & Nor Azizah, 1995). Program berkembar dengan
pusat-pusat pengajian tempatan dan luar negara juga wajar dilaksanakan
bagi melatih tenaga pengajar politeknik dan Sekolah-sekolah Menengah Teknik/vokasional.
Ini dapat meningkatkan lagi taraf kualiti pendidikan teknik dan vokasional
melalui mutu pengajaran yang tinggi dan lebih berkesan.
d) Peningkatan kuantiti pendidikan teknik dan vokasional.
Penulis melihat penambahan jumlah institusi pendidikan
teknik dan vokasional adalah perlu bagi memenuhi keperluan tenaga kerja
tempatan. Peratusan pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di bidang
ini masih terlalu kurang berbanding jumlah peluang yang sepatutnya dibuka.
Ini adalah selari dengan pernyataan yang mengatakan bahawa hanya sebanyak
7% pelajar-pelajar dapat memasuki sekolah vokasional dan teknik berbanding
dengan di negara perindustrian lain, di mana lebih 40% pelajar di sekolah
vokasional atau teknologi, misalnya di Jerman (Shahril Marzuki, 1993).
Jumlah kemasukan yang kecil adalah berpunca daripada kuantiti institusi
teknik dan vokasional yang masih tidak mencukupi berbanding dengan permohonan
kemasukan. Berdasarkan data yang dikemukakan bagi tahun 1992, didapati
hanya terdapat 70 buah sekolah vokasional yang hanya boleh menempatkan
46,980 pelajar sahaja (Berita Harian, 1 Disember 1992). Manakala politeknik
pula terdapat 7 buah dengan hanya mampu menempatkan 9,404 pelajar sahaja
(Shahril Marzuki, 1993).
Sewajarnyalah pihak kerajaan dengan dibantu oleh
swasta memperluaskan lagi penubuhan institusi teknik dan vokasional samada
di bawah peruntukan kerajaan mahupun pembiayaan swasta. Pandangan ini telah
turut dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang menyebut bahawa:
"sektor swasta membuat pelaburan dengan menubuhkan lebih
banyak sekolah vokasional atau politeknik untuk menampung keperluan tenaga
mahir, sejajar hasrat kerajaan menjadikan negara ini maju pada tahun 2020."
(Berita Harian, 17 Februari 1993).
Oleh itu, penubuhan kolej-kolej swasta dilihat sebagai
usaha untuk melahirkan tenaga mahir dalam pertumbuhan ekonomi negara bagi
menampung had jumlah tenaga terlatih yang dikeluarkan oleh pusat-pusat
pengajian awam tempatan.
Kesimpulan
Dalam kesimpulannya, penulis
menegaskan semula tentang cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh pendidikan
teknik dan vokasional dalam menyahut hasrat kerajaan menjelang tahun 2020.
Masyarakat diseru agar mengubah pandangan mereka terhadap pendidikan teknik
dan vokasional. Namun begitu, usaha-usaha yang berterusan perlulah dilakukan
bagi mengubah semula sikap dan nilai masyarakat ke arah yang lebih positif.
Ini termasuklah menanamkan sikap dan norma yang baik di kalangan mereka
agar mampu menjadi tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Di samping itu,
kerajaan dan swasta disarankan mengeratkan lagi kerjasama bagi menangani
masalah guna tenaga di dalam bidang teknik dan vokasional ini. Akhirnya,
penulis merasa yakin bahawa sekiranya tiga aspek utama cabaran iaitu sikap,
kualiti dan kuantiti dapat di atasi, maka kejayaan untuk mencapai wawasan
2020 adalah cerah.
Bibliografi
1) Kerajaan Malaysia, (1991). "Rancangan Malaysia Keenam
(1991-1995)". Kuala Lumpur: Percetakan Negara.
2) Siti Maspah Hassan; Nor Azizah Mohd.Salleh,
(1995). Kertas Kerja Bertajuk: Pendidikan Vokasional- Formal Dan Non Formal
Ke Arah Wawasan 2020. Dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad Ke
21 di UKM, Bangi pada 9 November 1995.
3) __________The Star, 10 Februari 1993.
4) __________ Berita Harian, 31 Januari 1993.
5) Isahak Haron (1992). "Aliran perkembangan Pendidikan
dan Pembentukan Malaysia Sebagai Negara Industri Abad Ke 21". Dalam Pidato
Umum Aminuddin Baki Kali Ke 4 di UPM, Serdang pada 4 Januari 1992.
6) ___________The Star, 10 Februari 1993.
7) ___________ Berita Harian, 1 Disember 1992.
8) Shahril Marzuki, (1993). "Peranan Pendidikan Vokasional
Dalam Pembangunan Sumber Manusia Bagi Mencapai Matlamat Wawasan 2020".
Jurnal Pendidikan Jilid 37 Kementerian Pendidikan Malaysia keluaran 8 Jun
1993.
9) ___________ Berita Harian, 17 Februari 1993.